Kongres ini akan mempertemukan para pengamal dan mereka yang terbabit secara langsung mahupun tidak langsung dalam bidang pengubatan Islam berteraskan al-Tibb al-Nabawi di rantau ini. Para peserta akan didedahkan dengan pembentangan kertas-kertas kerja yang merangkumi hampir semua aspek berkaitan pengubatan Islam baik bersifat tradisional mahupun kontemporari. Para pembentang pula akan terdiri dari kalangan mereka yang mempunyai kemahiran dan pengalaman luas dalam bidang ini baik sebagai pengamal, penyelidik, pengeluar produk, pengusaha pusat rawatan dan kesihatan, ahli akademik dan sebagainya. Antara sub bidang yang akan disentuh ialah berkaitan ruqyah al-syar`iyyah, sumber pengubatan Islam, kaedah dan teknik rawatan, bahan rawatan, etika dan peraturan berkaitan, pengurusan pusat rawatan pengubatan dan kesihatan, penanaman dan pengeluaran produk herbal dan non-herbal, teknik dan kaedah pemprosesan ubat, pengubatan komplementari termasuk bekam dan lain-lain.
Semoga kongres ini dapat dijadikan platfom untuk membina jaringan di kalangan komuniti yang terlibat dalam bidang ini agar pengubatan Islam dapat dimartabatkan sehingga setaraf dan sepenting perubatan alopati. Justeru itu setiap warga pengubatan Islam tidak seharusnya melepaskan peluang menghadiri kongres ini yang boleh juga bermanfaat bagi tujuan pengemaskinian data pendaftaran keahlian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Mungkin selepas ini hasrat untuk menubuhkan Majlis Pengubatan Islam Malaysia dapat direalisasikan demi mengangkat profesionalisme pengubatan Islam di mata masyarakat